Pengertian Zikir
Zikir ertinya ingat. Bila kita mencintai dan menyayangi
sesuatu, maka kita akan banyak mengingatinya. Bila kita banyak mengingatinya
maka sudah tentu kita akan banyak menyebutnya.
Bila kita mengenal Allah SWT, kita akan mencintai Allah.
Bila kita mencintai Allah, kita akan sentiasa mengingatiNya. Bila kita banyak
mengingatiNya, maka kita akan sentiasa menyebut namaNya. Itulah yang dikatakan
zikrullah. Kerana ini, zikrullah adalah gabungan antara mengingati Allah di
hati dan menyebutNya dengan lidah. Zikir lidah tanpa ingatan hati adalah zikir
yang cacat, dan meninggalkan zikir adalah tanda kelalaian. Ini adalah tanda
kita tidak mengenal Allah. Kalau kita tidak mengenal Allah, bagaimanakah kita
beribadah kepadaNya? Sedangkan tujuan penciptaan kita adalah pengabdian kita
terhadapNya. Kerana itu, zikir adalah sebahagian pengabdian kepada Allah SWT
yang mana untuk itu, kita diciptakan.
Zikir adalah ibadat yang paling senang,
Semua ibadat mempunyai syarat sahnya kecuali zikir. Ia boleh dilakukan samada dalam keadaan bersih atau berhadas, semasa berdiri, duduk,
mengiring dan dalam semua keadaan. Berkata Imam Nawawi: “Ijmak ulamak
mengharuskan zikir samada zikir lisan atau hati bagi yang berhadas, berjunub,
orang yang haid dan juga nifas”.
Kelebihan zikir daripada al-Qur'anul Karim
Ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan mengingatimu, dan
bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku . Surah
al-Baqarah: 152.
Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang
dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan
menjadi tenang. Surah ar-Ra'd: 28
Kelebihan zikir daripada hadis
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مثل الذي يذكر ربه والذي لا يذكر
ربه مثل الحي والميت.
Ertinya: Perumpamaan orang yang mengingati (dan menyebut)
tuhannya dengan orang yang tidak mengingatiNya adalah seumpama (perbezaan)
orang yang hidup dan mati. Riwayat Bukhari.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من قعد مقعدا لم يذكر الله فيه كان
عليه من الله ترة، ومن اضطجع مضطجعا لا يذكر الله فيه كان عليه من الله ترة...
رواه أبو داود.
“Sesiapa yang duduk di sesuatu tempat yang mana dia tidak
menyebut nama Allah padanya, maka dia akan mendapat kekurangan (dan juga
penyesalan)…”
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ليس يتحسر أهل الجنة إلا على ساعة
مرت بهم لم يذكروا الله فيها.
“Ahli syurga tidak akan menyesal melainkan (perkara yang
dilakukan di dunia) melainkan terhadap masa yang berlalu tanpa mereka berzikir
kepada Allah padanya”. Riwayat Baihaqi.
Kenapa tidak mahu berzikir ?
“Sesiapa yang berpaling dari pengajaran ar-Rahman, Tuhan
yang Maha Pemurah (Al Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkannya)
Maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu bersamanya. Dan Sesungguhnya
syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan
mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. Surah az-Zukhruf: 36-37.
“ Dan sebutlah (nama) Tuhannmu dalam hatimu dalam keadaan
rendah diri dan takut, juga dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan
petang, dan janganlah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang lalai. Surah
al-A'raf: 205.
Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah
akan membalas tipuan mereka, dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka
berdiri dengan malas, dengan tujuan menunjuk-nunjuk kepada orang lain, dan
tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sangat sedikit. Surah an-Nisa':
142.
Mereka lupakan Allah, lalu Allah melupakan mereka,
sesungguhnya para munafiq itu adalah orang-oranng yang fasiq . Surah
at-Taubah: 67
Berkata Abul Hasan as-Syazilli: “Antara tanda munafiq
ialah berat lidah untuk berzikir, kerana itu bertaubatlah kepada Allah, nescaya
ringan lidahmu menyebut namaNya”.
Pandangan ulamak-ulamak mengenai zikir
Berkata Ibnu Abbas: “Tidak ada satupun yang Allah SWT
fardhukan ke atas hambaNya melainkan ada takatnya dan ada rukhsahnya, melainkan
zikir. Sesungguhnya zikir tiada takat yang akhir dan tidak diberikan kepada
seseorang keuzuran melainkan orang yang hilang akalnya. Dan Dia pula
memerintahkan ia dilakukan dalam semua keadaan…”
Berkata Fakhruddin ar-Razi: “Sesungguhnya penyebab
kepada neraka jahannam ialah kelalaian dan yang mampu menyelamatkan daripadanya
ialah zikrullah…”
Berkata Ibnu Ataillah as-Sakandari: “Zikir ialah
membebaskan diri daripada kelalaian dan lupa dengan sentiasa menghadirkan hati
bersama Allah…”
Berkata Imam Abu Qasim al-Qusyairi: “…dan seseorang
tidak akan sampai kepada Allah SWT melainkan dengan sentiasa berzikir”.
Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah: "Zikir dan
hati itu ibarat air dan ikan, maka bagaimanakah keadaan ikan bila sudah
kekeringan air?
Berkata Imam Ibnul Qayyim: “Tidak syak lagi bahawa hati
ini akan berkarat…dan penghilangnya ialah zikir…bila ditinggalkan zikir, ia
akan kembali berkarat…dan bila karat sudah banyak…dia akan nampak kebaikan itu
kebatilan dan kebatilan itu kebaikan…dan bila karatnya bertimbun-timbun…akan
rosaklah gambarannya dan dia tidak lagi mampu menerima kebenaran…inilah
sebesar-besar balasan kepada hati…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan