PEMBUKA LORONG KEPADA NERAKA
Allah SWT mengingatkan mengenai kejayaan sebenar seorang
hamba iaitu apabila ia telah selamat dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam
syurga. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ
يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ
فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Yang bermaksud : "Tiap-tiap yang berjiwa akan
merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan
pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,
Maka sungguh ia telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah
kesenangan yang memperdayakan." (Surah Ali Imran, ayat 185)
Ayat ini jelas menyatakan bahawa kejayaan yang sebenar
bukanlah apabila seseorang itu mendapat harta yang bertimbun-timbun, tidak juga
apabila memenangi pilihan raya, dan apa jua kemegahan yang manusia dambakan di
dunia. Tetapi kejayaan yang sebenar ialah apabila manusia dapat menyelamatkan
diri daripada api neraka dan sekali gus melayakkan diri untuk menghuni syurga
Allah SWT. Inilah kejayaan yang besar. Sesungguhnya kejayaan inilah yang
benar-benar didambakan oleh manusia apabila tibanya mereka di hadapan Allah
SWT.
Sesungguhnya akan tiba juga saat di mana penghuni neraka
akan mengemis setitis air daripada penghuni syurga yang barangkali penghuni
syurga inilah golongan yang sering kali mereka tindas dan keji ketika berada di
dunia. Firman Allah SWT :
وَنَادَى أَصْحَابُ النَّارِ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا
عَلَيْنَا مِنَ الْمَاءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ
حَرَّمَهُمَا عَلَى الْكَافِرِينَ
Yang bermaksud : "Dan penghuni neraka menyeru
penghuni syurga: " limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang
Telah dirizkikan Allah kepadamu". mereka (penghuni surga) menjawab:
"Sesungguhnya Allah Telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang
kafir." (Surah al-A’raf: 50)
Lantas apakah sebab-sebab yang menjerumuskan seseorang itu
ke dalam neraka. Ketahuilah, sesungguhnya penghuni neraka itu terbahagi kepada
dua golongan yang memasuki neraka kerana sebab-sebabnya yang tersendiri.
Kategori pertama ialah mereka yang akan menghuni neraka buat selama-lamanya.
Mereka ialah :
Orang-orang yang syirik kepada Allah SWT samada dari sudut
uluhiyah, rububiyah atau sifat. Tidak ada ruang kemaafan bagi golongan seperti
ini apabila berdepan dengan Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT
:
إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ
الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang yang
mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, Maka pasti Allah mengharamkan kepadanya
surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu
seorang penolongpun." (Surah al-Maidah, ayat 72)
Kufur sama ada kepada Allah SWT, malaikat, para rasul, hari
kiamat, kitab-kitab Allah atau qadha’ dan qadr daripada Allah SWT. Mengkufurkan
salah satu daripada perkara-perkara ini dianggap sebagai menolak satu satu asas
iman. Firman Allah SWT :
إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ
يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ
بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا* أُولَئِكَ هُمُ
الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا
Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang
yang kafir kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan bermaksud membezakan antara
(keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: "Kami
beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)",
serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang
demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya.
kami Telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang
menghinakan." (Surah an-Nisa’, ayat 150-151)
Mengingkari kefardhuan salah satu daripada rukun-rukun Islam
dengan menyatakan bahawa ia tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Demikian juga
dengan mengingkari pengharaman perkara-perkara yang jelas haram melalui nas
yang sahih serta ijma’ muslimin seperti mengingkari pengharaman zina, arak,
mencuri dan sebagainya. Mengingkari kefardhuan dan pengharaman yang jelas ini
boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam. Namun sekiranya ia
mengingkari dengan sebab kejahilannya semata-mata, ia masih belum dikategorikan
sebagai keluar daripada Islam.
Pempermainkan ketetapan atau apa jua yang berkaitan dengan
Allah SWT samada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan. Pelakuan ini boleh
menyebabkan tergelincirnya aqidah dan menjadi pelorong untuk terjun
selama-lamanya di dalam neraka. Firman Allah SWT :
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ
وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ*
لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ
مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ
Yang bermaksud : "Dan jika kamu tanyakan
kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan
manjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main
saja." Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya
kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta maaf, Karena kamu kafir
sesudah beriman. jika kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat),
niscaya kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah
orang-orang yang selalu berbuat dosa." (Surah at-Taubah, ayat 65-66)
Mencela Allah SWT, agama yang diturunkanNya atau nabiNya.
Samada ia dilakukan dengan iktikad atau hanya sekadar permainan kata sahaja, ia
tetap dikira sebagai satu dosa yang besar. Bahkan menyebabkan orang lain
mencela Allah SWT pun ditegah apatah lagi sekiranya diri sendiri yang mencela.
Firman Allah SWT
وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا
اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Yang bermaksud : "Dan janganlah kamu memaki
sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan
memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." (Surah
al-An’am, ayat 108)
Menghukum dengan selain daripada hukum Allah dengan
keyakinan bahawa hukum manusia lebih baik daripada hukum Allah SWT. Firman
Allah :
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ
الْكَافِرُونَ
Yang bermaksud : "Barangsiapa yang tidak
memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah
orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44)
Adapun golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah
kerana kejahilan atau kepentingan tertentu dengan tetap yakin bahawa hukum
Allah jualah yang terbaik tidaklah tergolong sebagai golongan yang terkeluar
daripada Islam. Namun ia tidak dimasukkan ke dalam golongan fasik atau zalim
berdasarkan firman Allah dalam dua ayat selepasnya.
Orang-orang munafik iaitu yang menzahirkan Islam tetapi
kufur di dalam hati mereka. Golongan ini lebih merbahaya daripada orang-orang
kafir itu sendiri. Firman Allah SWT :
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ
وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang
munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. dan
kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka."
Demikianlah sebahagian golongan yang akan menghuni neraka
selama-lamanya. Manakala kategori kedua pula ialah golongan yang menghuni
neraka dengan sementara. Mereka ini ialah orang-orang Islam yang sempurna
akidahnya tetapi bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak diampunkan melainkan
perlu dihukum di dalam neraka terlebih dahulu. Tempoh masa menjalani hukuman
tersebut hanya diketahui oleh Allah SWT. Walaupun hanya sementara, tetapi
hukuman ini tetap merupakan satu hukuman yang berat dan menyiksakan. Di antara
golongan yang disebut sebagai penghuni neraka sementara itu ialah :
Penderhaka kepada kedua ibubapa. Di dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari berbunyi :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ
مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ
Yang bermaksud : "Daripada Abdullah bin Umar
RA berkata datang seorang badwi kepada Nabi SAW lalu bertanya, wahai
Rasulullah, apakah dia dosa-dosa besar? Rasulullah SAW menjawab, syirik kepada
Allah. Dia bertanya lagi, kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab, menderhakai
kedua ibubapa." (Hadis riwayat Bukhari)
Memutuskan hubungan silaturrahm. Ini juga dianggap sebagai
dosa yang serius kerana boleh mengakibatkan hururara yang berpanjangan di dalam
masyarakat. Nabi SAW bersabda :
لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ
Yang bermaksud : "Tidak masuk syurga orang
yang memutuskan (silatturahm)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah SWT juga berfirman :
فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ
وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ* أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ
فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ
Yang bermaksud : "Maka apakah kiranya jika
kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan
kekeluargaan? Mereka Itulah orang-orang yang dila'nati Allah dan ditulikan-Nya
telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka."(Surah Muhammad:
22-23)
Kadang-kadang ada di antara individu masyarakat yang hanya
akan menyambung hubungan silaturrahm dengan orang yang berusaha
menyambungkannya dengan mereka. Jila tiada inisiatif dari orang lain, maka dia
sendiri tidak akan bergerak untuk memulakannya. Ini adalah satu sikap yang
salah. Rasulullah SAW bersabda :
لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنْ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا
قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
Yang bermaksud : "Tidaklah yang menyambungkan
silaturrahm itu orang-orang yang merasa cukup dengan apa yang ada, tetapi yang
menyambungkan itu ialah orang-orang yang apabila terputus hubungan, akan
berusaha menyambungkannya." (Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ahmad)
Memakan riba yang dianggap satu perang kepada Allah dan
RasulNya. Firman Allah SWT :
فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ
وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا
تُظْلَمُونَ
Yang bermaksud : "Maka jika kamu tidak
mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahwa Allah dan
rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba),
Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula)
dianiaya." (Surah al-Baqarah: 279)
Firman Allah SWT lagi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا
مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ* وَاتَّقُوا النَّارَ
الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ* وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ
تُرْحَمُونَ
Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu
kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Dan peliharalah dirimu dari
api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir. Dan taatilah Allah
dan rasul, supaya kamu diberi rahmat." (Surah ali Imran, ayat
130-132)
Makan harta anak yatim sebagaimana firman Allah SWT :
إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا
يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang
yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api
sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala
(neraka)". (Surah an-Nisa’ ayat 10)
Penyaksian bohong. Ini kerana penyaksian seorang mukmin
ialah sesuatu yang mulia. Maka mencemarkan kemuliaan ini dianggap sebagai satu
dosa yang serius. Oleh yang demikian hendaklah setiap mukmin berhati-hati
memberikan penyaksian terhadap apa jua perkara samada penyaksian berbentuk
kata-kata atau tulisan. Rasulullah SAW bersabda :
لَنْ تَزُولَ قَدَمَا شَاهِدِ الزُّورِ حَتَّى يُوجِبَ اللَّهُ لَهُ
النَّارَ
Yang bermaksud : "Tidak akan berganjak kaki
penyaksi yang bohong kecuali Allah akan mewajibkannya masuk ke neraka" (Riwayat
Ibnu Majah dan al-Hakim dengan katanya, hadis ini sahih isnad)
Rasuah, khususnya dalam penghakiman agar memihak kepadanya
sekalipun ia berada di pihak yang salah. Nabi SAW bersabda :
الرَّاشِي والْمُرْتَشِي فِي النّار
Yang bermaksud : "Orang yang memberi rasuah
dan penerima rasuah, berada di dalam neraka." (Riwayat Tabrani dengan
perawi-perawi yang thiqat) Nasiruddin al-Bani menyatakan hadis ini dhaif namun
beliau mensahihkan satu hadis lain iaitu : Allah SWT melaknat pemberi dan
penerima rasuah.
Sumpah bohong khususnya yang mengkhianati hak orang lain.
Nabi SAW bersabda :
مَنْ اقْتَطَعَ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينٍ كَاذِبَةٍ لَقِيَ
اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ
Yang bermaksud : "Sesiapa yang mengkhianati
harta seseorang muslim dengan sumpah yang bohong, akan berjumpa dengan Allah
SWT dalam keadaan Allah marah kepadanya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menghakimi sesuatu tanpa maklumat yang jelas atau dengan
sikap memihak. Rasulullah SAW bersabda :
الْقُضَاةُ ثَلاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ
فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ
عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى
لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
Yang bermaksud : "Hakim itu ada tiga
golongan. Satu golongan ke syurga dan dua golongan ke neraka. Adapun yang ke
syurga ialah orang yang mengetahui kebenaran dan memutuskan dengannya. Kedua
ialah yang mengetahui kebenaran tetapi melanggarnya maka ia ke neraka dan
ketiga yang menghakimi dengan kejahilan, dia juga akan ke neraka." (Hadis
riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah. Disahihkan oleh al-Albani)
Pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menipu
rakyat berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ
يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Yang bermaksud : "Tidak ada mana-mana hamba
yang diamahkan oleh Allah untuk menjaga rakyatnya lalu mati dalam keadaan ia
membohongi rakyatnya kecuali Allah mengharamkannya untuk ke syurga." (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah sebab-sebab yang boleh menjerumuskan seseorang
ke neraka. Marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi daripada sifat-sifat yang
disebutkan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan