HUSNUZAN (BERBAIK SANGKA) SESAMA MUSLIM
Segala puji Bagi Allah Yang Maha Pengampun segala kesalahan
dan Maha Menerima taubat hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi
Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.
Sama-samalah kita berlumba membuat kebajikan dan amalan
soleh serta memperbaiki diri sebagai bekalan untuk hari esok sebagaimana firman
Allah Ta’ala:
Maksudnya: “Hari yang tidak berguna harta benda dan
anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.[Surah
Asy-Syu’ara’ 88-89]
Hubungan yang murni dan suci sesama manusia merupakan
maqasid (tujuan syariat) Islam, iaitu berlapang dada, mesra, kasihan belas,
ukhuwwah, berkasih sayang dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan ke atas kita
untuk mengekalkan hubungan dan ikatan sesama insan seteguh cerucuk yang ditanam
dan sekukuh bangunan yang dibina, kita hendaklah bertemu manusia dengan dada
yang lapang, hati yang bersih dan muka yang manis. Seterusnya kita hendaklah
berbaik sangka dalam hubungan sesama manusia, menjauhkan sikap memandang serong
kepada amalan orang, pegangan (aqidah) dan perkataan mereka.
Jika diperhatikan hubungan sesama muslim, kita akan dapati
satu fenomena yang mendukacitakan, dengan ikatan persaudaraan yang tercarik dan
simpulan ukhuwwah yang terungkai, disebabkan oleh sangkaan dan prasangka buruk,
syak wasangka dan tuduhan yang tidak berasas.
Banyak kedengaran dalam majlis perbincangan umum ataupun khusus,
tuduhan-tuduhan seperti; ‘pulan bermaksud begini’, ‘niat si pulan begini’,
‘maksud perbuatan atau perkataannya begini’… perkara seperti ini, semuanya
lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan
kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat, menggoncangkan keutuhan
ukhuwwah, memutuskan tali kekeluargaan, menanamkan sifat ragu dikalangan individu
dan masyarakat. Bahkan berapa banyak yang telah kita dengar peristiwa besar dan
bencana yang menimpa berpunca daripada sangkaan jahat (su’ uzzan) yang
diletakkan bukan pada tempatnya.
Apabila penyakit su’ uzzan menular ke dalam diri, ianya akan
membawa kepada; terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang,
suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia
keburukan orang. Kerana itu kita lihat orang yang bersikap su’ uzzan sering
berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini”, maka, dia mula
mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan
menyebut saudara muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah
melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi
satu bahaya apabila hubungan sesama muslim dibina di atas sikap prasangka su’
uzzan, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap
seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan
makna mahabbah.
Menebalnya sikap prasangka su’ uzzan akan menjadikan manusia
mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi
sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan,
tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan, ini merupakan suatu sikap yang
akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.
Zan atau sangkaan terbina di atas asas agakan atau satu
perkataan atau amalan yang diragukan. Zan akan menjadikan seseorang menurut
perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka
dengan itu Zan akan menguasai dirinya juga cara pemikirannya. Sehingga kamu
akan dapati orang yang bersikap prasangka akan merasakan seseorang yang
disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan
khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkanya terhadap saudaranya.
Bahkan sehingga salam yang diucap oleh seorang muslim kalau
telah dilingkungi oleh prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan atau celaan,
demikian juga dengan senyuman akan dianggap sebagai perlian atau sinisan,
pujian dan pemberian hadiah juga boleh disalah ertikan dengan berbagai anggapan
yang akan membawa kepada perbalahan dan perselisihan.
Firman Allah Taala:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah
kamu mengumpat akan setengahnya yang lain”. [Al-Hujurat: 12].
Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan
orang muslim dengan sebaiknya kerana ianya didahului dengan tegahan daripada
bercakap tentangnya dengan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka mengatakan:
‘Saya akan kaji dan selidik’! Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu mencari-cari
keaiban orang lain”. Jika mereka berkata: ‘Saya telah pastikannya dengan tidak
mencari keaiban’. Katakanlah: “Janganlah kamu mengumpat di antara satu sama
lain”.
Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan”.
Seruan kepada orang-orang mukmin,
menyeru agar jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa kepada semua yang
terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan
orang lain. Dengan ini Al-Quran telah membersihkan hati dari terkena kotoran
prasangka yang akan membawa dosa, biarlah hati terus bersih daripada sebarang
syak dan keraguan, bersih perasaannya terhadap saudaranya. Alangkah indahnya
hidup di dalam masyarakat yang bersih dari prasangka.
Berkata sebahagian ulama’: “Perkara yang membezakan syak
atau sangkaan yang mesti dijauhkan daripada yang sebaliknya ialah setiap
keraguan yang tidak ada tanda yang sahih serta sebab yang nyata adalah haram,
wajib dijauhi. Iaitu jika sekiranya seseorang itu dari kalangan orang yang baik
atau yang tersembunyi kejahatannya, seorang yang tampak amanah pada zahirnya,
maka meyangka jahat terhadapnya adalah haram. Ini berbeza dengan orang yang
telah terkenal dari kalangan manusia yang sering melakukan perkara yang
meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan”.
Ini kerana kebanyakan ulama’ berpendapat: “Tidak boleh
berprasangka buruk kepada orang yang zahirnya tampak baik dan tidak mengapa
berprasangka tidak baik terhadap orang yang zahirnya tampak tidak baik”.
Dari Sa’id bin Al-Musayyib rh katanya: ‘Telah menulis kepada
saya beberapa orang ikhwah daripada sahabat Rasulullah S.A.W: Hendaklah engkau
meletakkan urusan/perkara saudara engkau di tempat yang sebaiknya selagi kamu
tidak didatangi oleh perkara yang menurunkannya dan jangan kamu menyangka satu
kalimah yang keluar daripada seorang muslim itu tidak baik sedangkan kamu masih
ada peluang untuk menjadikannya baik’.
Manhaj ini sangatlah dituntut apabila berdepan dengan orang
yang mempunyai kelebihan dan kebaikan (ulama’, pendakwah dan lain-lain), ini
adalah termasuk dalam fiqh Al-Maqasid dan niat, yang mungkin tidak disedari
oleh setengah golongan, menyebabkan mereka sering menjatuhkan hukuman salah ke
atas orang lain dengan tidak mengambil kira keadaan, niat dan tujuan orang
tersebut. Mungkin kesalahan itu merupakan satu perkara yang tidak disengajakan
dan beliau tidak bermaksud dengan kejahatan sebagaimana yang telah dijelaskan
oleh Ibnu Al-Qayyim rh dengan katanya: “Satu kalimah yang sama, diucapkan oleh
dua orang yang berbeza, seorang bermaksud dengan kebatilan dan seorang lagi
bermaksud dengan kebenaran, yang diambil kira (iktibar) ialah cara, pemikiran,
mazhab dan ideologi yang didokong oleh orang yang berucap juga pegangan yang
dipertahankannya”.
Kerana itu tidak dihukum kafir seorang yang kerana terlalu
gembira sehingga tersalah mengatakan: ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah
tuhanMu’, kerana dia tidak bermaksud menjadikan dirinya sebagai tuhan.
Sheikhul-Islam Ibnu Taimiyah rh menukilkan tulisan orang
yang bercanggah dengan pendapatnya kemudian beliau mengatakan: “Kalam ini
terlalu umum, orang yang inginkan kebenaran akan meletakkannya di tempat yang
baik dan sebaliknya orang tidak menginginkan kebenaran akan memasukkan
(menambah, menafsir, mentakwil) nya dengan bermacam-macam…”.
Inilah manhaj yang tinggi, sikap terbuka yang telah diterima
oleh As-Salafussoleh... adil dan insaf yang telah digariskan oleh ulama’
ummah... mereka telah meletakkan perkataan yang mengandungi berbagai maksud di
tempat yang baik… melapangkan dada yang terbuka, bebas dari pengaruh hawa
nafsu, baik diri dan menasihati ummah... di mana kita dengan manhaj ini?
Bukan dari manhaj salaf menambah (menafsir, menghurai..) kan lafaz (yang tidak
disebut) sehinggakan mengubah maksud, gembira dengan menyebarkan kesilapan
orang dan bermuamalah sesama muslim dengan su’ uzzan, sangkaan jahat.
Sebahagian daripada prasangka ialah meletakkan perkataan dan
perbuatan orang lain di tempat yang tidak baik iaitu dengan membesarkan
kesalahan dan memandang mereka dengan penuh tohmahan, tanpa meneliti sebab atau
mencari keuzuran, setiap perkataan yang boleh ditafsir dengan maksud yang baik
dan tidak baik, akan diambil yang tidak baik…Subhanallah! Bagaimana mereka
menghukum dengan menafsirkan niat dan tujuan dalam diri orang lain?.
Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dan rahsia dalam diri
untuk memuhasabahnya adalah ciri-ciri yang hanya tertentu bagi Allah swt Yang
Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia. Adapun manusia tidak ada
hak baginya ke atas saudaranya kecuali amalannya yang zahir, inilah amalan
Salafussoleh yang terdahulu, yang telah penuh hati mereka dengan didikan Islam
yang sempurna lagi bersih.
Sheikh Abdur Razzaq Radhiallahuanhu telah meriwayatkan
daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin
Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw
diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya
boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang
menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak
ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya.
Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan
membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”. Maka setiap muslim
hendaklah memuhasabah dirinya dengan setiap kalimah yang diucapkannya atau
suatu hukum yang dikeluarkannya, sentiasalah mengingati firman Allah Taala:
Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang
engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan
penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang
perkara yang dilakukan”. [Al-Isra’ 36].
Su’ uzzan atau sangkaan buruk terjadi daripada beberapa sebab,
yang paling banyak terjadi ialah apabila seorang individu dibesarkan dalam
suasana yang terkenal dengan akhlak yang buruk, buruk sangka, sama ada di rumah
atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan mempunyai hati
yang busuk.
Sesiapa yang mengikut hawa nafsu akan membawanya kepada
perasaan zan dan sangkaan dusta, kerana kasihkan sesuatu akan menjadikannya
buta dan tuli dan apabila seseorang cenderung kepada yang lain dengan hawanya,
akan menjadikannya lupa kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka
dengannya, walaupun orang itu melakukan kesalahan, demikianlah juga sebaliknya,
dia akan sentiasa berprasangka buruk, mencari kesalahan dan menimbulkan
kesilapan, walaupun orang itu benar pada dasarnya.
Sesetengah manusia ada yang bersikap bongkak, mengagumi
kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain bersalah,
membanggakan dirinya dan menghina orang lain, semua ini akan menjadikannya
bersikap buruk sangka terhadap orang lain.
Sesungguhnya fenomena buruk sangka sesama Islam telah begitu
meluas di zaman kita, menjadi barah yang meruntuhkan hubungan dan kesatuan
(wehdah) di antara individu dan masyarakat muslim, ini adalah merupakan satu
kesan negatif terhadap kekuatan masyarakat untuk menghadapi cabaran dari dalam
dan luar.
Buruk sangka, menuduh tanpa asas, cepat menghukum telah
menakutkan orang, menzalimi beberapa golongan dan beberapa orang yang soleh
telah dijauhkan tanpa sebab yang diizinkan oleh syariat, sebagaimana kata orang
dahulu: ‘Aku melihat permusuhan tetapi tidak melihat sebabnya’. Semuanya
berpunca daripada percakapan yang tidak ada sandaran…hanya sangkaan yang buruk,
umpatan jahat dan tuduhan palsu, firman Allah Taala:
Maksudnya: “Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki
dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang
mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara
dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. [Al-Ahzab 58].
Setelah jelas kepada kita –wahai saudara- bahawa buruk
sangka adalah satu penyakit yang merosakkan, maka kita mesti berusaha untuk
membendungnya sebelum ia terus merebak dan menghancurkan.
Di antara ubatnya ialah: berbaik sangka (husnuzzan) dengan
manusia, jauhkan sikap buruk sangka, berfikir semasaknya sebelum membuat tuduhan
atau hukuman. Sekiranya engkau tersalah kerana berbaik sangka adalah lebih baik
daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saidina
‘Umar bin Al-Khattab ra: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah
yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu
masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.
Ubat yang seterusnya: sentiasa mencari keuzuran yang boleh
memaafkan manusia, tinggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek
keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam
menghukum seseorang atau sesuatu perkara yang jelas dan meninggalkan segala
yang tersembunyi hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui semua rahsia dan
segala yang tersembunyi.
Firman Allah Taala:
$
Maksudnya: “Mereka tidak lain hanyalah mengikut
sangkaan semata-mata, pada hal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi
kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran”. [An-Najmi, 28].